Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 28 JUN 2021: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan kompaun dan notis penutupan kepada pemilik perniagaan kerana menjalankan perniagaan stor sejuk beku tanpa kebenaran.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Encik Kamarul Azlan Bin Pati berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu notis penutupan dan mengenakan kompaun RM2,000 keatas pemilik perniagaan kerana beroperasi tanpa kelulusan.

“Tindakan susulan akan diambil selepas berakhir tempoh notis yang diberikan, semakan akan dibuat secara berterusan sekiranya pemilik premis didapati ingkar, satu kompaun atas kesalahan ingkar notis akan dikeluarkan pula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Operasi Pemantauan Pematuhan Kilang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Daerah Kuantan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya pemilik premis tersebut terus ingkar, tindakan undang undang akan diambil dan dirujuk kepada Seksyen Perundangan MBK.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang turut mengeluarkan kompaun atas kesalahan tidak mempamerkan Kod QR My Sejahtera, gagal menyediakan pengimbas suhu dan tiada menyediakan cecair pembasmi kuman atau ‘hand sanitizer’.
Operasi pemantauan yang diketuai oleh Unit Antarabangsa, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang akan diteruskan secara berkala untuk memastikan SOP yang ditetapkan sentiasa dipatuhi bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.
Pengoperasian ini akan dilaksanakan di seluruh daerah Kuantan dengan berkonsepkan ‘Kita Jaga Kita’. – PAHANGMEDIA