PULAU TIOMAN BERSEDIA UNTUK GELEMBUNG PELANCONGAN JIKA CAPAI IMUNITI KELOMPOK

KUANTAN, 28 JUN 2021: Selepas Pulau Langkawi di Kedah, Pulau Tioman di Rompin, Pahang akan turut dipercepatkan proses vaksinasi bagi memastikan 80 peratus populasinya divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, imuniti kelompok ialah keadaan penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu.

Beliau berkata, apabila status imuniti kelompok dicapai di Pulau Tioman, tentunya gelembung pelancongan dapat dilaksanakan di pusat peranginan berkenaan.

“Pembukaan semula industri pelancongan tentunya akan dapat mengimbangi kerugian sekali gus meningkatkan semula pendapatan mereka yang terjejas di kawasan pulau berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin

“Ia selaras pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini agar lebih banyak pihak yang terbabit dalam industri pelancongan dapat divaksinasi secara besar-besaran,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau malam tadi.

Beliau juga berkata, langkah proaktif ini (gelembung pelancongan) dilihat berjaya membantu negara luar seperti Australia dan New Zealand mengembangkan sektor pelancongan serta ekonomi berkaitan, antaranya membabitkan pengangkutan, penginapan dan makanan.

Menurutnya, ia bertepatan strategi utama pelancongan iaitu mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong sekali gus dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik.

Katanya, dalam melaksanakan gelembung pelancongan itu, tentunya kerajaan negeri mempunyai kriteria ditetapkan antaranya pelancong yang ingin melancong sudah mengambil suntikan vaksin COVID-19 dan perlu melakukan ujian calitan (swab test).

“Pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dilaksanakan demi memastikan tidak berlaku penularan wabak pandemik Covid-19 ketika aktiviti gelembung pelancongan dilaksanakan.

“Kita percaya apabila imuniti kelompok ini berjaya dicapai, bukan sahaja Pulau Tioman, malah lokasi pelancongan lain seperti Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Cameron Highlands dan Genting Highlands serta Bukit Frazer kembali dibuka,” katanya.

YB Dato’ Sri Mohd Sharkar berkata, untuk memastikan imuniti kelompok itu dicapai, beliau berharap kerajaan Pusat segera mempercepatkan program vaksinasi negara.

Beliau juga menyatakan rakyat tidak boleh tunggu sehingga Ogos atau hujung tahun ini untuk mendapatkan imuniti kelompok.

Menurut beliau, segala perancangan vaksinasi sedia ada perlu diubah dan dilipatgandakan usahanya supaya rakyat perlu mencapai imuniti kelompok jauh lebih cepat.

“Hanya dengan cara itu, aktiviti gelembung pelancongan dapat diperluaskan bukan sahaja di seluruh negeri Pahang malah seluruh negara demi memulihkan dan merancakkan kembali sektor pelancongan negara,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download