KUANTAN, 27 JUN 2021 : Dua kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan hari ini dengan satu kes melibatkan pesakit dari Kluster Rantau Kenanga.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 124 kes.

“Kes ke-123 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 69 tahun dari Taman Bahagia Makmur, Temerloh. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.
“Kes ke-124 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 67 tahun dari Taman Temerloh Jaya Indah, Temerloh,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 1,003 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan buah hospital dan empat buah Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini manakala 148 kes lagi berada dalam pengawasan di rumah.
“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 20 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 10 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 10 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan sembilan (9) kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.
Menurut beliau, terdapat lima kluster aktif yang mencatatkan pertambahan kes di negeri ini hari ini.
“…iaitu Kluster Sentral Triang (pertambahan 7 kes dengan jumlah keseluruhan 25 kes), Kluster Delima Raya (pertambahan 3 kes dengan jumlah keseluruhan 149 kes), Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 21 kes dengan jumlah keseluruhan 360 kes).
“Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 29 kes dengan jumlah keseluruhan 175 kes) dan Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 14 kes dengan jumlah keseluruhan 144 kes),” katanya.
Beliau berkata berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 90 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 28 kes merupakan warganegara asing.
“Sebanyak 116 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, dua (2) kes import (2 dari Selangor). Terdapat 74 kes diperolehi daripada saringan kluster, 27 saringan kontak rapat, 6 saringan bergejala dan 11 saringan bersasar,” katanya.
Sebanyak 118 kes baharu telah dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang mencecah 13,095 kes. -PAHANGMEDIA