YARM NEGERI PAHANG SOKONG PENUBUHAN PERBADANAN BIODIVERSITI JAGA EKOSISTEM

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 27 JUN 2021 : Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Negeri Pahang menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mewujudkan Perbadanan Biodiversiti di negeri ini.

Presidennya, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, penubuhan perbadanan itu adalah perlu bagi mengekalkan kelestarian ekosistem selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Negeri Pahang, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong

“Kami menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mencadangkan agar penggubalan enakmen yang lebih konstruktif antaranya Enakmen Perlindungan Alam Sekitar atau Enakmen Biodiversiti.

“Ini bertujuan melindungi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar sebagai jaminan masa hadapan generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan bertulis kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, YARM Negeri Pahang turut menyambut baik usaha dan komitmen YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan berisan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di Tasik Chini sebagaimana kejayaan sama memulihkan Sungai Ichat di Cameron Highlands yang tercemar ekoran pencerobohan haram.

Katanya, usaha ini turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang telah memulakan proses pemulihan berperingkat dengan penanaman semula pokok di kawasan tasik berkenaan.

“Usaha ini memerlukan gandingan solidariti pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan sebagai ‘3rd party validator’ bagi menggerakkan usaha konsisten ini,” katanya.

Komitmen dan usaha pemulihan alam sekitar ini telah dimulakan sejak tahun 2019 apabila kerajaan negeri mewartakan hutan simpan kekal Chini pada 13 Mac 2019 lagi. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download