Kompleks Dagangan Mahkota (KDM)

PKNP SANGKAL DAKWAAN NAIKKAN KADAR SEWA PREMIS KDM

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 24 JUN 2021 : Kadar sewa premis di Kompleks Dagangan Mahkota (KDM) yang didakwa dinaikkan sehingga 100 peratus dari kadar sewa terdahulu adalah tidak tepat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), YBhg Encik Mohd Faizal Jaafar dalam satu kenyataan media hari ini berkata kadar sewa yang ditawarkan sekarang adalah kadar sewa asal setelah perjanjian pengurangan sewa tamat.

“Kompleks ini menyediakan 106 unit premis sewa yang ditawarkan pada kadar sewaan RM150 hingga RM2,400 sebulan berdasarkan kepada keluasan lot bermula pada seawal tahun 2008.

“Selaras dengan matlamat PKNP untuk membantu usahawan bumiputera, kadar yang ditawarkan sememangnya rendah berbanding harga sewaan premis komersial di sekitar Kuantan.

“Pada peringkat awal, PKNP telah melaksanakan beberapa inisiatif di mana para penyewa telah diberikan diskaun sebanyak 50 peratus selama enam tahun sehingga tahun 2015. Selepas itu kadar diskaun ini telah dikurangkan kepada 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata penyewa terlibat telah pun menikmati diskaun bagi kadar sewa yang mana lebih rendah daripada kadar asal selama 10 tahun.

Menurut beliau lagi, pihak PKNP telah melakukan beberapa inisitif bagi membantu para penyewa sepanjang pandemik COVID-19 melanda.

“Walau bagaimanapun, sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara pada tahun 2020, serta selaras dengan usaha pihak Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk meringankan beban rakyat khususnya kepada para penyewa dalam tempoh tersebut, PKNP telah melaksanakan beberapa inisiatif.

“Antaranya penangguhan bayaran sewa sehingga Disember 2020, dan tawaran diskaun penyewaan sehingga 20 peratus kepada penyewa yang layak bagi bulan April hingga Jun 2020 yang melibatkan mereka yang tiada tunggakan dan tiada kes guaman,” katanya.

Menurut beliau, KDM merupakan kompleks yang dibangunkan oleh PKNP bermatlamat untuk menyediakan premis dan ruang perniagaan kepada para usahawan Bumiputera di negeri ini.

Beliau berkata PKNP kini dalam proses terakhir untuk memuktamadkan dasar baharu berkaitan kadar sewa di semua premis perniagaan milik PKNP.

“PKNP sentiasa peka dengan denyut nadi rakyat dan memahami masalah yang dihadapi oleh semua penyewa.

“PKNP kini dalam proses terakhir untuk memuktamadkan dasar baharu bagi kadar sewa untuk membantu para penyewa PKNP yang terkesan di semua premis perniagaan milik PKNP di seluruh negeri Pahang. Para pegawai dan kakitangan PKNP di Bahagian Pemasaran dan Pengurusan Harta sentiasa bersedia membantu semua penyewa,” katanya.

Sebelum ini, satu hantaran di Facebook yang menggunakan nama ‘Koi Pahang’ semalam (23 Jun 2021) mendakwa para peniaga telah menerima surat berkaitan kenaikan kadar sewa premis di KDM sebanyak 70 peratus sehingga lebih 100 peratus. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download