KUANTAN, 24 JUN 2021 : Semua cawangan pasaraya TMG Mart, TMG Plus, TMG Express dan Warehouse di seluruh daerah Kuantan ditutup sementara bagi kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.
Pengurusan Tunas Manja Group (TMG) dalam satu kenyataan memaklumkan ujian saringan COVID-19 (PCR) turut akan dijalankan ke atas semua kakitangan dan langkah itu dilakukan demi keselamatan kakitangan dan orang awam yang berurusan dengan pihak TMG.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak TMG meminta orang ramai agar tidak percaya pada khabar angin palsu yang sedang bertebaran di media sosial ketika ini.
“Pihak kami juga akan kembali beroperasi dengan kebenaran KKM selepas keputusan saringan yang dilakukan terhadap semua kakitangan adalah negatif dan semua cawangan TMG telah dibasmi kuman.
“Kami juga memberi jaminan bahawa semua cawangan akan beroperasi selepas segala langkah agresif dan proaktif diambil sekaligus mewujudkan situasi selamat kepada pengunjung, pembekal dan kakitangan,” menurut kenyataan itu. – PAHANGMEDIA