LELAKI TULAR ISI MINYAK PAKAI GELANG PINK, DALAM PERJALANAN UNTUK POTONG GELANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 23 JUN 2021 : Lelaki yang tular dilihat mengisi minyak kenderaannya dengan memakai gelang kuarantin dan tidak memakai pelitup muka di Bentong, dalam perjalanan ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) bagi memotong gelang tersebut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dalam satu kenyataan media berkata siasatan awal pihak polis mendapati kenderaan lelaki berkenaan kehabisan minyak ketika dalam perjalanan ke PKD Bentong.

“Pada 23 Jun 2021 (Rabu) jam lebih kurang 2.00 petang, tular gambar seorang lelaki warganegara tempatan yang sedang mengisi minyak tanpa memakai pelitup hidung dan mulut serta memakai gelang pengawasan berwarna pink.

“Siasatan awal pihak polis mendapati lelaki terbabit dalam perjalanan ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong untuk memotong gelang pengawasan berwarna pink, namun kereta lelaki terbabit kehabisan minyak,” katanya.

Beliau berkata satu laporan polis telh dibuat ke atas lelaki terbabit kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Laporan polis telah dibuat ke atas lelaki terbabit kerana tidak memakai pelitup hidung dan mulut di tempat awam berdasarkan gambar yang tular.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa, dan Seksyen 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini atau mana-mana arahan ketua pengarah atau seseorang pegawai diberi kuasa melakukan suatu kesalahan dan boleh disabitkan akan di denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP khususnya dalam pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Tambah beliau lagi, orang ramai boleh melaporkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang melanggar SOP ditetapkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau ke mana-mana balai polis berhampiran. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download