Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 23 JUN 2021 : Satu kluster baharu melibatkan Pasar Kemunting dilaporkan hari ini dengan 18 individu disahkan positif COVID-19 setakat ini.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata Kluster Pasar Kemunting bermula dengan satu kes yang dilaporkan pada 21 Jun 2021 di daerah Kuantan.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak di tempat kerja yang bertempat di Jalan Seri Kemunting 2, Kemunting, Kuantan.
“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang bekerja di lokasi tersebut. Kes mula mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 14 Jun 2021. Hasil siasatan mendapati terdapat 5 orang rakan sekerja lain yang disahkan positif COVID-19.
“Penularan jangkitan disyaki berlaku di tempat kerja kerana berlakunya perjumpaan sosial dan terdapat pelanggaran SOP. Sehingga 23 Jun 2021 jam 12 tengah hari, seramai 118 individu telah disaring dalam kluster ini dan 18 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 245 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di negeri ini kepada 12,456 kes.
“Berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 168 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 77 kes merupakan warganegara asing. Sebanyak 239 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan enam (6) kes import (5 dari Terengganu dan 1 dari Perak). Terdapat 150 kes diperolehi daripada saringan kluster, 81 saringan kontak rapat, 12 saringan bergejala, 1 saringan pra prosedur dan 1 saringan pra kemasukan.
“Terdapat tujuh (7) kluster mencatatkan pertambahan kes iaitu Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 55 kes dengan jumlah keseluruhan 71 kes), Kluster Industri Indera Mahkota 14 (pertambahan 10 kes dengan jumlah keseluruhan 124 kes), Kluster Lorong Empat Jerantut (pertambahan 30 kes dengan jumlah keseluruhan 41 kes), Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 29 kes dengan jumlah keseluruhan 275 kes), Kluster Delima Raya (pertambahan 10 kes dengan jumlah keseluruhan 144 kes), Kluster Selindang (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 51 kes) dan Kluster Flora Blue Valley (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 25 kes),” katanya.
Menurut beliau, sebanyak lapan daerah mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 pada hari ini.
“Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (101 kes), diikuti Jerantut (47 kes), Cameron Highlands (38 kes), Maran (25 kes), Bentong (13 kes), Temerloh (13 kes), Bera (6 kes) dan Lipis (2 kes),” katanya. -PAHANGMEDIA