Gambar hiasan

COVID-19: 601 WARGA EMAS DI PUSAT JAGAAN SELESAI TERIMA VAKSIN

Oleh: Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 23 JUN 2021: Seramai 601 warga emas yang tinggal di 28 pusat jagaan berkediaman di negeri ini telah menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobile sehingga 20 Jun lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin, Daerah Bera mencatatkan jumlah penerima vaksin tertinggi di kalangan warga emas iaitu seramai 232 orang melibatkan dua institusi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin

“Selain itu, Kuantan mencatatkan seramai 204 penerima melibatkan 16 institusi, Temerloh 51 penerima tiga institusi, Raub 30 penerima empat institusi, Bentong 39 penerima dua institusi dan Jerantut 35 penerima satu institusi,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang hari ini.

Selain itu, beliau berkata, seramai 74 orang kurang upaya (OKU) telah menerima vaksin menerusi PPV Mobile, melibatkan empat buah pusat jagaan kediaman OKU di beberapa daerah di Pahang sehingga 20 Jun lalu.

“Pusat Penjagaan Kanak Kanak Terencat Akal Kuantan membabitkan seramai 20 orang, Pusat Jagaan Rumah Sejahtera (KDS) Temerloh (20 orang), Siliom House Bentong (19 orang) dan Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan Orang-Orang Istimewa, Temerloh (11 orang),” katanya.

Selain itu, usaha giat dibuat untuk vaksinasi Orang Kurang Upaya (OKU) di semua 52 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) seluruh Negeri Pahang.

Begitu juga, seramai 934 orang Warga Emas yang berdaftar di 12 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) seluruh Pahang telah divaksinkan.

Gambar hiasan

Jelas beliau lagi, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mewujudkan PPV Mobile bagi menjayakan pemberian vaksin untuk golongan warga emas dan OKU.

“PPV Mobile ini memfokuskan pemberian vaksin untuk warga emas yang tinggal di institusi jagaan warga emas dan OKU yang berada di pusat jagaan berkediaman,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download