Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 22 JUN 2021 : Pahang akan memperluaskan Program Outreach Vaksinasi ( POV) COVID-19 ke kawasan FELDA bagi memastikan sasaran 80 peratus rakyat divaksin menjelang akhir Oktober nanti tercapai.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam satu mesyuarat secara maya bersama pemimpin masyarakat FELDA dan Exco FELDA pagi tadi.

“Mesyuarat itu melibatkan kira-kira 2,600 orang dan mereka menyatakan majoriti dalam 80 peratus rakyat di kawasan mereka sedia untuk daftar dan menerima suntikan. Ini membuktikan kesedaran (pentingnya vaksin) sudah ada berbanding pada peringkat awal dulu.
“Sekiranya perlu kita akan buat secara bergerak ke FELDA, kampung-kampung termasuk perkampungan orang asli agar lebih ramai menerima suntikan. Ini adalah usaha kita agar lebih ramai menerima suntikan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang pada lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli; Pegawai Kesihatan Daerah Pekan, Dr. Nur Aiza Hj Zakaria serta pemimpin setempat.
Dalam pada itu, beliau sangat berpuasa hati dengan perjalanan program vaksinasi di negeri ini, namun menghadapi kekangan berkenaan ketiadaan bekalan (vaksin).
“Saya difahamkan kehadiran penerima vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga hampir 100 peratus dan kita kini hanya menanti bekalan 440,000 dos seperti yang dijanjikan selain berjaya meyakinkan pihak kementerian untuk mempercepatkan pemberian vaksin seterusnya sebelum tiba musim tengkujuh.
“Pahang telah bersedia dari aspek logistik dan petugas, kita telah beritahu kementerian melalui YB Khairy Jamaludin bahawa kita mampu memberi 20,000 suntikan sehari, sekarang ini purata (pemberian suntikan) hanya 7,000 hingga ke 8,000 sehari kerana bekalan (vaksin) tiada.
“Jadi bila bekalan sampai kita boleh capai sasaran dan kita juga telah bersedia membuka klinik kesihatan serta pihak hospital persendirian juga telah menyatakan persediaan mereka untuk memberi suntikan,” katanya. – PAHANGMEDIA