KUANTAN, 21 JUN 2021: Semua wad di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh telah ditutup untuk kemasukan baharu kecuali bagi kes-kes kritikal di mana dua wad multidisiplin telah dibuka.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata, bagaimanapun, perkhidmatan kecemasan, perbidanan (obstetrik) dan paediatrik masih beroperasi.
“Semua pesakit yang tidak kritikal tetapi memerlukan kemasukan ke hospital akan dialihkan ke hospital-hospital berpakar lain di Negeri Pahang. Jabatan Kesihatan Negeri Pahang ingin memaklumkan bahawa keadaan adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.
Beliau berkata, aktiviti kawalan dan pencegahan sedang dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan di HOSHAS yang telah ditutup secara sementara dapat dibuka semula secara berperingkat dan boleh beroperasi seperti biasa dalam masa yang terdekat.
“Dimaklumkan sehingga semalam, terdapat 37 kes COVID-19 dikesan di HOSHAS. Penularan jangkitan berlaku di wad biasa bukannya di wad yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19.
“Sehubungan itu penilaian risiko telah dibuat ke atas semua yang terlibat. Kontak rapat kepada kes positif telah dibuat saringan COVID-19 dan diasingkan,” katanya. – PAHANGMEDIA