COVID-19 : DUA KLUSTER BAHARU LIBATKAN PASAR RAYA DI KUANTAN DAN JERANTUT

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 JUN 2021 : Dua kluster baharu melibatkan pasar raya dilaporkan di Kuantan dan Jerantut hari ini dengan 18 individu positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata, kluster tersebut ialah Kluster Indera Mahkota 16 dan Kluster Kluster Lorong Empat Jerantut.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

“Kluster Indera Mahkota 16 bermula dengan satu kes yang dilaporkan pada 15 Jun 2021 di Daerah Kuantan. Nama kluster merujuk kepada lokaliti premis di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak di tempat kerja iaitu di sebuah pasar raya di Jalan IM 16/3, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia. Kes mula bergejala batuk dan selesema pada 13 Jun 2021. Kes pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan pada 14 Jun 2021 dan RTK-Ag didapati positif hasil saringan bergejala. Swab PCR diambil pada hari yang sama dan keputusan disahkan positif pada 15 Jun 2021. Seramai 140 individu telah disaring dalam kluster ini dan 9 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata Kluster Lorong Empat Jerantut mula dilaporkan pada 20 Jun 2021 merujuk kepada lokaliti di mana berlakunya penularan wabak yang melibatkan pekerja-pekerja sebuah pasar raya di Lorong 4, Bandar Baru Jerantut.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang tidak mempunyai sejarah penyakit dan tidak bergejala yang bekerja di pasar raya berkenaan.

“Kes adalah kontak rapat kepada ahli keluarga yang mengalami sesak nafas dan menjalani rawatan di hospital pada 15 Jun 2021 dan menjalani ujian saringan yang mana telah didapati positif COVID-19. Seramai 21 kontak rapat telah disaring melibatkan pekerja dan ahli keluarga pekerja dan 9 orang telah disahkan positif,” katanya.

Beliau berkata terdapat satu kes kematian baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 112 kes.

“Kes ke-112 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 75 tahun dari Kg Paya Tateh, Bera. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.

Sebanyak 77 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 12,030 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download