YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media selepas Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

KERAJAAN PAHANG BERTERIMA KASIH PENAMBAHAN 440,000 DOS VAKSIN PADA JULAI DEPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 18 JUN 2021 : Kerajaan Pahang berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan bagi penambahahan dos vaksin sebanyak 440,000 dos bulan hadapan.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata penambahan vaksin ini dapat membantu Pahang mencapai imuniti kelompok dalam masa yang ditetapkan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada YB kerana telah sudi mendengar pandangan kami terutamanya kita tambahkan lagi vaksin ke hadapan untuk kita selesaikan secepat mungkin sebelum musim tengkujuh dan akan dihantar dalam jumlah besar iaitu 400,000 lebih untuk bulan Julai.

“Dan perbincangan hari ini sangat baik dan pihak kemeterian telah menerima pandangan dan kita pun mendapat berita yang sangat baik daripada pihak kementerian.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Penyelaras Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairi Jamaluddin ketika sidang media selepas Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

“Jadi insyaAllah kita akan dapat capai herd immunity ini dalam masa yang telah kita tetapkan. Isu dia cuma bekalan tapi YB dah bagi penjelasan kepada kita dan kita sangat berpuas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Penyelaras Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairi Jamaluddin dan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

Menurut YB Khairi, sasaran 440,000 dos yang akan dihantar ke negeri Pahang merupakan satu peningkatan jumlah yang sangat besar.

“…dan saya yakin bahawa penghantaran itu akan digunakan dengan cekap oleh Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Saya memberi jaminan kepada Kerajaan Negeri, kita akan bagi apa yang telah kita janjikan dan kita akan pastikan bahawa negeri Pahang kita usahakan supaya sasaran 80 peratus daripada penduduk ini akan dicapai pada akhir bulan Oktober sebelum musim tengkujuh nanti sebab kita tidak mahu nanti waktu musim banjir kita masih lagi mencari penduduk untuk divaksinkan,” katanya.

Beliau berkata rancangan Kerajaan Pahang untuk membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tambahan dapat membantu meningkatkan kadar suntikan harian di negeri ini.

“YAB Menteri Besar telah memaklumkan keperluan untuk kita membuka PPV terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Jadi di semua daerah di Bentong, Bera, Jerantut, Lipis terutamanya dan juga Kuantan, Pekan, Raub, Temerloh dan Rompin akan kita tambah PPV untuk keselesaan orang ramai di samping PPV yang sedang beroperasi dan juga Klinik Kesihatan yang sedang beroperasi sebagai PPV.

“Saya percaya dan yakin dengan penambahan PPV ini akan menjayakan usaha kita untuk meningkatkan kadar suntikan di negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download