Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 JUN 2021: Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh masih beroperasi seperti biasa dan bahagian yang terlibat dengan kes COVID-19 sahaja ditutup.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata, ia berhubung peningkatan kes COVID-19 yang melibatkan kakitangan dan pesakit di hospital tersebut.

“Penularan jangkitan berlaku di wad biasa bukannya di wad yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19. Dengan pemakaian Personal Protective Equipment (PPE) Aras 2, keberangkalian jangkitan masih boleh berlaku.
“Susulan daripada kejadian tersebut, penilaian risiko telah dibuat ke atas semua pesakit di wad dan kakitangan kesihatan. Semua yang diklasifikasikan sebagai kontak rapat kepada kes positif telah dibuat saringan COVID-19.
“Pesakit yang telah terdedah kepada risiko jangkitan tapi masih negatif, telah diasingkan di bilik isolasi dan akan dibuat sampel ulangan. Semua kakitangan yang diklasifikasikan sebagai kontak rapat telah dikuarantin,” katanya.
Beliau berkata, pihak pengurusan hospital juga melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan dengan menutup sementara wad yang terlibat untuk kemasukan pesakit baharu bagi melaksanakan aktiviti dekontaminasi.
“Penutupan sementara klinik pakar, Unit Rawatan Harian (Day Care Unit), Unit Hemodialisis dan Jabatan Rehabilitasi akan dilaksanakan bermula daripada 16 hingga 20 Jun 2021 bagi kerja-kerja disinfeksi.
“Pesakit yang memerlukan rawatan akan dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan yang terdekat,” katanya. -PAHANGMEDIA