Antara aktiviti yang dilaksanakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Gambang.

PKRC GAMBANG JALANKAN AKTIVITI KECERGASAN SEBAGAI TERAPI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 15 JUN 2021 : Aktiviti kecergasan seperti futsal yang dijalankan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Gambang adalah salah satu terapi kepada para pesakit yang ditempatkan di sini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, ia adalah satu inisiatif untuk menaikkan semangat pesakit COVID-19 di PKRC ini.

“Kita lihat pesakit di PKRC ini perlu ada pengisian dan bukannya menjadi lokasi untuk mereka dikuarantin semata-mata. Antara aktiviti riadah yang kita jalankan di sini adalah sukan outdoor seperti futsal, sukan indoor seperti catur, dam, dan ping pong, serta senamrobik.

Antara aktiviti yang dilaksanakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Gambang.

“Selain itu kita juga menjalankan aktiviti pengisian rohani seperti ceramah agama, ceramah motivasi, dan juga ceramah kesihatan kepada semua pesakit di sini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata, aktiviti sukan futsal yang dijalankan di PKRC ini adalah yang pertama di negeri ini kerana di PKRC lain tiada kemudahan gelanggang futsal seperti di Gambang ini.

Menurut beliau, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada pihak Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) bagi menjalankan kesemua aktiviti ini.

“Bagi aktiviti sukan indoor mahupun outdoor, kita dibantu oleh pihak MSP, manakala bagi aktiviti pengisian rohani kita mendapat bantuan daripada pihak JKNP yang kita jalankan secara berjadual sama ada seminggu sekali mengikut kesesuaian.

“Konsep kita mudah, bila minda para pesakit cergas, InsyaAllah badan mereka akan sihat, dan kita juga ingin mengelakkan pesakit merasa bosan atau tertekan ketika berada di sini,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini rata-rata pesakit memberikan maklumbalas yang positif dengan adanya aktiviti seperti ini.

Katanya lagi, pihaknya juga perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sepanjang masa aktiviti berkenaan dijalankan.

“Waktu senamrobik dan ketika futsal pakai PPE adalah satu cabaran. Mana dengan panas dan peluh lagi tapi itu sahaja cara untuk kita bantu pesakit yang ada bagi mengurangkan tekanan mereka,” katanya.

PKRC Gambang merupakan PKRC keenam di buka di negeri ini yang boleh menempatkan 1,380 pesakit khusus bagi pesakit lelaki yang berada dalam kategori 1 dan kategori 2 sahaja. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download