Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 JUN 2021: Pahang merekodkan tujuh daerah berada pada zon merah, manakala tiga daerah lagi pada zon jingga dan satu daerah berada pada zon kuning setakat hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata, hanya daerah Raub berada pada zon kuning.
“Sebanyak tujuh daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran dan Temerloh manakala tiga daerah berada dalam zon jingga iaitu Pekan, Rompin dan Cameron Highlands.
“Tujuh daerah mencatatkan pertambahan kes. Kes tertinggi dicatatkan di dua daerah iaitu Kuantan dan Temerloh (masing-masing mencatatkan 15 kes), diikuti Maran (11 kes), Bera (9 kes), Lipis (6 kes), Bentong (3 kes) dan Jerantut (2 kes).
“Terdapat enam kluster mencatatkan pertambahan kes iaitu Kluster Gunung Senyum (pertambahan 4 kes dengan jumlah keseluruhan 81 kes); 4 Kluster Industri Mentakab (pertambahan 4 kes dengan jumlah keseluruhan 83 kes); Kluster Jaya Gading (pertambahan 4 kes dengan jumlah keseluruhan 149 kes); Kluster Kampung Pagi (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 48 kes); Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 11 kes dengan jumlah keseluruhan 113 kes); dan Kluster Delima Raya (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 124 kes),” katanya.
Beliau berkata, terdapat 755 kes positif COVID-19 kini sedang dirawat di lapan hospital dan enam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di seluruh negeri ini.
“113 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC. Daripada jumlah ini, terdapat 19 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Di mana 8 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan 11 kes di ICU Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh dengan 5 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.
Menurut beliau lagi, sebanyak 61 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 11,675 kes.
“Daripada 61 kes baru yang didaftarkan pada hari ini, 56 kes merupakan warganegara Malaysia, manakala 5 kes merupakan warganegara asing.
“Selain itu, 61 kes merupakan jangkitan tempatan. 26 kes diperolehi daripada saringan kluster, 32 saringan kontak rapat, 2 saringan bergejala dan 1 saringan bersasar (warga emas),” katanya. -PAHANGMEDIA