Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 14 JUN 2021: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sedia menjadikan semua klinik kesihatan di setiap daerah sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memudahkan proses pemberian vaksin di Negeri Pahang.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah berkata, cadangan ini adalah bertujuan untuk memudahkan urusan pemberian vaksin kepada orang awam.
“Kita bercadang menggunakan klinik kesihatan di negeri ini bagi menampung keperluan penduduk yang berada jauh di pedalaman seperti penduduk di perkampungan Orang Asli.
“Akan tetapi, pembukaaan PPV ini tersebut bergantung kepada keperluan kerana ia melibatkan bilangan petugas kesihatan yang ramai,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya dua klinik kesihatan yang mampu menampung keperluan penduduk di daerah tersebut dan daerah Kuantan sahaja terdapat 11 klinik yang mampu dimobilasi sebagai PPV.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan diwujudkan PPV selain daripada Klinik Kesihatan bagi menampung keperluan penduduk yang berada jauh di kawasan pedalaman. – PAHANGMEDIA