KUANTAN, 13 JUN 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa sedih dengan laporan mengenai kewujudan kluster mini membabitkan Wad Kenanga 6 (lelaki) di Hospital Sultan Hj Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh yang berpunca daripada seorang penjaga pesakit bergejala.
Beliau berkata, ekoran kejadian itu, pembersihan terminal telah dibuat di wad berkenaan dan wad tersebut ditutup daripada kemasukan pesakit baharu.

Beliau menjelaskan, penjaga pesakit yang dimaksudkan didapati mempunyai kaitan dengan kes positif COVID-19 di Rancangan Tanah Felda Jengka 7, Maran atau dikenali Kluster Rantau Kenanga.
Menurut beliau, sehingga semalam (Sabtu, 12 Jun 2021) seramai 23 orang telah disahkan positif dari wad tersebut membabitkan sembilan petugas kesihatan, 12 pesakit dan dua penjaga pesakit.
“Ia termasuk dua kematian iaitu pesakit yang dijagai oleh penjaga bergejala berkenaan iaitu pesakit berusia 71 tahun yang merupakan ayah kepada penjaga itu, meninggal dunia pada 9 Jun, dan seorang lagi meninggal dunia pada 8 Jun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada ahli keluarga yang mahu menjaga atau menemani ahli keluarga lain yang dimasuki dan dirawati di hospital, supaya mengelakkan diri daripada berbuat demikian terutama mereka yang bergejala seperti batuk dan demam.
“Ini penting agar kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi punca kepada kewujudan kluster-kluster baharu apatah pula yang membabitkan kemudahan kesihatan awam yang penting seperti hospital,” katanya.-PAHANGMEDIA