COVID-19 : DUA KLUSTER BAHARU BERKAITAN PENULARAN DI TEMPAT KERJA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 12 JUN 2021 : Dua kluster baharu di negeri ini adalah daripada penularan wabak COVID-19 di tempat kerja dengan merekodkan 32 kes positif.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kedua-dua kluster ini melibatkan daerah Kuantan dan Cameron Highlands.

Menurut beliau dua kluster baharu berkenaan yang dilaporkan pada hari ini ialah Kluster Flora Blue Valley, Cameron Highlands dan Kluster Industri Jalan 1/6 Gebeng, Kuantan.

“Kluster Flora Blue Valley mula dilaporkan pada 11 Jun 2021 di daerah Cameron Highlands. Nama kluster merujuk kepada tempat kerja di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak iaitu dalam kalangan pekerja kebun bunga.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang bukan warganegara yang tinggal dan bekerja di Kebun Bunga Flora Cameron, Blue Valley. Kes mula mengalami sakit kepala pada 5 Jun 2021. Kes disahkan positif pada 10 Jun 2021 hasil saringan bergejala bersama 3 rakan sekerja yang lain. Hasil siasatan mendapati berkemungkinan terdapat jangkitan komuniti ketika melakukan aktiviti di luar kebun dan seterusnya menjangkiti rakan- rakannya yang tinggal di rumah kongsi di kebun terbabit. Seramai 49 individu telah disaring dalam kluster ini dan 22 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.

Menurut beliau, Kluster Industri Jalan 1/6 Gebeng bermula dengan empat kes yang dilaporkan pada 10 Jun 2021 di Kuantan.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak di tempat kerja. Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang bekerja di Kawasan Perindustrian Gebeng.

“Kes telah menjalani saringan bersama pekerja yang lain atas arahan PKPD Gebeng yang mana pekerja yang bekerja di kawasan perindustrian Gebeng diarahkan untuk menjalani ujian RTK Ag. RTK Ag telah dibuat pada 8 Jun 2021 dan kes disahkan positif dan diarahkan untuk melakukan ujian PCR pada hari yang sama. Keputusan ujian adalah positif pada 10 Jun 2021.

“Hasil siasatan mendapati daripada 5 orang kes yang dinotifikasikan, kes indeks mempunyai gejala yang terawal. Penularan disyaki berlaku di tempat kerja (ruang rehat iaitu surau dan pantri). Seramai 237 individu telah disaring dalam kluster ini dan 10 kes dalam kalangan pekerja dan ahli keluarga dikesan positif,” katanya.

Sebanyak 121 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 11,536 kes.

Menurut beliau lagi terdapat 18 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tujuh kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan 11 kes di ICU Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS), Temerloh dengan tujuh kes memerlukan bantuan mesin pernafasan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download