Gambar hiasan

17 SMAN CATAT KEJAYAAN SPM 100 PERATUS

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 10 JUN 2021: 17 buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang berjaya mencatatkan kejayaan 100 peratus dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, hanya sebuah sekolah SMAN yang mencatatkan keputusan 98 peratus daripada 18 buah sekolah yang disenaraikan.

“Alhamdulillah seluruh SMAN Kerajaan Negeri Pahang, 100 peratus berjaya, cuma SMA Al Alttas 98 peratus,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, mendahului senarai adalah Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan, dan kejayaan ini disifatkan mendahului prestasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Pahang.

“Diikuti Sekolah Tinggi Agama Sultan Abu Bakar Pekan. Dengan catatan ini, Sekolah -sekolah Agama Pahang telah berjaya mendahului prestasi Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan di seluruh Pahang.

“Maahad Tahfiz Kerajaan Negeri Pahang pula berjaya mengekalkan keputusan antara yang terungul di negara kita,” katanya.

Menurut beliau lagi, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika dihubungi bagi menyampaikan berita ini turut melahirkan rasa syukur.

“YAB Dato Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail ketika dihubungi melafazkan syukur kehadrat Ilahi kerana usaha gigih Kerajaan Negeri selama ini telah membuahkan hasil sebaik-baiknya.

“Beliau meminta pentadbiran ini menyenaraikan pelajar-pelajar yang cemerlang terutama memperoleh AAA diikitiraf serta diberi penghargaan setimpal.

“Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar dan ibu bapa berkenaan, serta setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada warga didik yang telah memikul tangungjawab sebaiknya,” katanya.

Beliau dalam hantaran tersebut turut mengucapkan tahniah kepada warga Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan SMAN di atas kejayaan ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download