Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 10 JUN 2021: Daerah Pekan berjaya mengungguli keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik di negeri ini pada tahun 2020 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 4.38 dan gred Layak Mendapat Sijil (LMS) 94.85.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau menerima maklumat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan bahawa keputusan SPM bagi daerah ini adalah paling cemerlang di Negeri Pahang.
“Dengan keputusan pencapaian terbaik 4.38 bagi GPS dan 94.85 bagi gred LMS sejak SPM mula menggunakan format baru bermula tahun 2012 sudah tentu ianya membanggakan kita semua.
“Keputusan ini dipengaruhi usaha berterusan Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa memikirkan cara terbaik membantu pelajar SPM negeri ini terutamanya sejak negara dan negeri ini dilanda pandemik COVID-19,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun banyak kelas terpaksa ditunda, sekolah ditutup berikutan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga pelajar tidak dapat mengikuti kelas, namun masih mampu mendapat keputusan SPM yang cemerlang.
“Walaupun begitu, Kerajaan Pahang sangat mengambil berat masalah yang dihadapi oleh pelajar demi memastikan pelajar SPM, anak Pahang dapat mengikuti dan mengulangkaji pelajaran sebaik mungkin.
“Antara langkah yang dilaksananakan Kerajaan Pahang ialah pemberian RM50 dengan peruntukan sebanyak RM962,700 kepada 19,254 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di negeri ini sebagai insentif untuk pembelajaran secara dalam talian susulan penutupan sekolah akibat COVID-19,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan Pahang juga telah menyumbangkan komputer riba percuma kepada pelajar miskin terutama mereka yang akan menduduki SPM.
“Begitu juga Yayasan Pahang (YP) berterusan menyampaikan Biasiswa kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini. Malah YB Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak sentiasa mengambil berat dengan menyampaikan pelbagai sumbangan bagi meringankan beban ibu bapa dan pelajar.
“Selaku Ahli Dewan Negeri Bebar, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga pendidik di Pekan di ketuai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Tuan Haji Mohd Razali Mustafar dan semua pelajar diatas kejayaan cemerlang yang telah mengharumkan nama Daerah Pekan dan Negeri Pahang ini,” katanya. – PAHANGMEDIA