Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 JUN 2021: Sebanyak 5,129 kenderaan diarah berpatah balik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Bentong yang bermula 4 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kesemua kenderaan ini diarah berpatah balik di dua sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan.
“Bermula dari 4 Jun sehingga hari ini, kita telah mengarahkan 3,929 kenderaan berpatah balik di SJR Exit Bentong Timur,dan 1,200 lagi diarahkan berpatah balik di SJR Simpang Labu.
“Antara sebab mereka di arah berpatah balik kerana Bandar Bentong telah dikenakan tindakan PKPD tetapi ada antara pengguna jalan raya yang tidak tahu mengenai perkara ini dan tindakan berpatah balik terpaksa kami keluarkan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, sebanyak lima sekatan jalan raya dan dua laluan ditutup berikutan PKPD yang dilaksanakan di Bandar Bentong bermula Ahad lepas.
“Kita telah mengadakan SJR dan penutupan jalan di beberapa lokasi dan akan beroperasi 24 jam bagi memastikan jangkitan di lokaliti ini dapat dibendung secepat mungkin.
“Kita mengadakan SJR di Tol Bentong menghala Kuantan; di hadapan SMK Bukit Tinggi; jalan Kampung Simpang Durian, Manchis; jalan susur masuk Bentong Timur dan Simpang Jelebu, Jalan Raub-Bentong.
“Penutupan jalan pula adalah di susur Barat Bentong dan Batu 4 Jalan Kuala Lumpur Lama-Bentong dan di Jalan Benus Jaya. Kita juga menutup beberapa jalan dan laluan alternatif untuk masuk dan keluar Bentong iaitu dari Kuala Lumpur-Raub-Gua Musang melalui Kampung Chinta Manis-Mempaga-Simpang Lebu dan Gua Musang-Raub-Kuala Lumpur melalui Simpang Lebu-Chinta Manis-Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan berharap semua pihak dapat bersabar dalam memerangi wabak COVID-19. – PAHANGMEDIA