Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain ketika Program Bicara Pahang hari ini.

COVID-19: MUIP BELANJA RM15.8 JUTA BANTU GOLONGAN TERJEJAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 8 JUN 2021: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah membelanjakan kira-kira RM15.8 juta sebagai bantuan khusus untuk pandemik COVID-19 sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, ia melibatkan pelbagai jenis bantuan kepada golongan yang layak.

“Kita memberikan berbagai jenis bantuan pada tahun lepas iaitu seperti bantuan kepada asnaf dan fakir miskin yang berjumlah 10,708 orang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.1 juta.

“Kita juga telah melaksanakan e-asnaf secara atas talian. Agihan e-asnaf di mana sesiapa yang terkesan dengan COVID-19 maknanya mereka tidak mempunyai pekerjaan, mereka sudah tidak boleh berniaga dan sebagainya dan jumlah ini melibatkan 49,215 orang dan melibatkan peruntukan bernilai RM9.84 juta.

“Selain daripada itu juga kita juga telah memberikan barangan keperluan asas yang melibatkan keluarga berjumlah 36,300 orang dan peruntukannya berjumlah RM2.2 juta,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) dalam program Bicara Pahang hari ini.

Beliau berkata, bantuan yang diberikan juga turut melibatkan golongan gelandangan dan golongan yang terkesan seperti mak nyah.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain.

“Sebagai contoh di Kuantan, kita memberikan (bantuan) kepada dua golongan iaitu golongan gelandangan yang tidak ada pekerjaan, yang hidup tak tentu hala, mencari pendapatan dengan pelbagai cara dan sebagainya, dan juga golongan-golongan mak nyah kita bantu.

“Bantuan yang kita bagi ini seperti kita menyediakan makanan sepanjang bulan Ramadan pada tahun lepas. Kita bagi mereka setiap petang untuk berbuka puasa dan begitu juga golongan yang dinyatakan seperti golongan maknyah juga kita bantu supaya mereka keluar daripada kepompong yang ada.

“Peruntukan ini sebenarnya di bawah peruntukan riqab supaya mereka boleh menjalani kehidupan yang biasa seperti mana golongan masyarakat yang lain,” katanya.

Beliau berkata setakat Mei tahun ini, pihak MUIP telah membelanjakan RM8.9 juta bagi tujuan yang sama.

“Kita juga telah memberikan bantuan kepada masyarakat yang terkesan iaitu bantuan tunai berjumlah 3,767 orang fakir dan miskin yang melibatkan sebanyak RM1.1 juta dan pada Ramadan yang lepas kita telah memberikan bantuan kepada masyarakat yang terkesan ini yang berjumlah 7,146 penerima melibatkan peruntukan berjumlah RM4.9 juta.

“Kita juga bagi untuk barangan bantuan keperluan asas kepada kawasan-kawasan yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kita bagi contohnya beras, gula dan lain-lain berjumlah 9,309 penerima yang peruntukan berjumlah RM465,000.

“Bantuan makanan gelandangan terutamanya kepada komuniti di Jalan Wong Ah Jang yang berjumlah 344 orang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM110,000,” katanya.

Beliau berkata pihak MUIP juga memberikan bantuan kepada 10,381 keluarga mualaf Orang Asli pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1.8 juta. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download