KUANTAN, 5 JUN 2021: Seramai 70 ahli Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) turun padang membantu kerja-kerja sukarela Program Vaksinasi COVID-19 di 11 klinik kesihatan sekitar Kuantan bermula hari ini.
Sukarelawan ini adalah mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara di sekitar Kuantan yang kini berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Yang Dipertuanya, Syed Amirul Rosyid Sy Mohd Sukri, sukarelawan MAMPA membantu petugas barisan hadapan terutama petugas kesihatan melancarkan proses vaksinasi untuk rakyat negeri ini di klinik-klinik berkaitan.
“Antaranya membantu proses pendaftaran, menunjuk arah, mengiringi penerima warga emas dan memberi penjelasan berhubung kepentingan suntikan vaksin bagi mengekang jangkitan COVID-19.
“Perkhidmatan ini bermula pada hari ini sehingga tamat fasa kedua proses vaksinasi yang dijangka pada Ogos depan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari.
Beliau berkata, di peringkat permulaan, perkhidmatan ini hanya di sekitar Kuantan namun untuk akan datang, pihaknya bercadang meluaskan kerja-kerja sukarela ini di daerah lain sekiranya diperlukan dan mendapat kebenaran.
“Inisiatif yang digerakkan ini mendapat kerjasama Majlis Tindak Sosial Pahang (MTSP), Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dan Yayasan Pahang,” katanya.
Sementara itu, usaha Mampan disambut baik Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Balok, Dr Norhayaty Sharman Khamise.
“Pihak kami berterima kasih kepada gokongan muda ini yang banyak membantu meringankan beban petugas menguruskan penerima vaksin khususnya warga emas di klinik ini,” katanya lagi. – PAHANGMEDIA