Video aktiviti perlombongan haram pada tahun 2017 yang isunya telah selesai telah ditularkan semula oleh pemilik akaun facebook yang menggunakan nama Sabrina Syed beberapa hari lalu.

TIADA LAGI PERLOMBONGAN HARAM DI LIPIS, VIDEO LAMA DITULARKAN SEMULA

Oleh : Fansurina Abdullah dan Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 4 JUN 2021 : Sebuah video yang dirakam pada 2017 yang kembali tular beberapa hari lalu menerusi laman facebook menggunakan nama Sabrina Syed, menimbulkan pelbagai spekulasi dan persoalan yang mengundang pelbagai tanggapan daripada pelbagai pihak.

Namun hakikatnya isu pada tahun 2017 itu telah lama diselesaikan dan tiada lagi sebarang kerja perlombongan haram di daerah Lipis khususnya di lokasi yang dinyatakan dalam video berkenaan oleh pemilik facebook tersebut iaitu di Sungai Jelai, Kuala Medang, Lipis.

Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim berkata, pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan perlombongan haram itu telah pun dikenakan tindakan sita dan kompaun pada tahun 2018.

“Untuk pengetahuan, kes ini telah lama ditutup malah pihak terbabit telah pun dikenakan tindakan kompaun dan peralatan yang digunakan juga telah dileraikan serta dipulangkan kepada pemilik.

“Sehingga kini tiada lagi sebarang kerja perlombongan haram di daerah ini terutama di lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Encik Fadzli Mohamad Kamal.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak kerajaan akan bertindak tegas sekiranya didapati berlaku kerja seumpama itu dan tindakan undang-undang akan diambil tertakluk kepada kes dan rujukan undang-undang.

Sementara itu Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau kesal dengan tindakan pemilik facebook berkenaan yang tidak semena-mena mengundang kemarahan netizen kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Pahang.

“Kes pun sudah selesai dan yang paling penting, ianya tiada kaitan langsung dengan YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Pahang. Ianya berpunca daripada kerakusan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya berharap kepada mana-mana individu yang ingin membuat posting di facebook supaya kaji dahulu kesahihan info yang diperoleh termasuklah dalam kes video ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download