Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 4 JUN 2021: Ikhtiar menerima vaksin atau berubat merupakan sunnah yang diseru oleh Baginda Rasullah SWT dalam menjaga serta memelihara kesihatan tubuh daripada segala penyakit.
Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Osman berkata, tindakan orang ramai yang bersedia untuk menerima vaksin COVID-19 hukumnya adalah harus menurut Islam yang bertujuan menghentikan penularan wabak sekali gus mengurangkan kadar kematian.
Beliau juga melihat tindakan kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di surau dan masjid adalah sebagai berhati-hati bagi memastikan tiada penularan wabak di rumah ibadah terbabit.
“Apabila umat Islam sudah dibenarkan untuk ke masjid, saya minta makmurkan masjid dan umat Islam perlu bersatu hati untuk menghentikan wabak COVID-19 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Pahang yang dipancarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pahang Media dan Kerajaan Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Menyentuh tentang kematian umat Islam disebabkan wabak, beliau menjelaskan, kematian akibat wabak merupakan suatu ujian yang besar buat si mati dan ianya dikira sebagai syahid akhirat di mana mereka akan menerima ganjaran istimewa daripada Allah SWT.
Sementara itu, beliau berkata, tindakan larangan merentas ke kawasan wabak yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa ketika ini merupakan saranan daripada hadis oleh Baginda Rasul SAW.
Beliau berkata, Baginda melarang sahabatnya masuk ke kawasan wabak dan keluar dari kawasan wabak ketika berlaku penularan pada zaman pemerintahan Baginda.
“Larangan ini bertepatan dengan tindakan Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan kenyataan bahawa haram merentas negeri, kerana tindakan ini dapat mengekang dan mengawal penularan wabak COVID-19 ketika ini,” katanya. – PAHANGMEDIA