COVID-19: TUJUH DAERAH CATAT PERTAMBAHAN KES POSITIF, JERANTUT TERTINGGI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 03 JUN 2021: Sebanyak tujuh daerah di negeri ini mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 setakat jam 5 petang dengan Daerah Jerantut merekodkan pertambahan kes tertinggi.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata, sebanyak 135 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 10,139 kes hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Awang Ngah.

“Sebanyak tujuh daerah mencatatkan pertambahan kes. Kes tertinggi dicatatkan di daerah Jerantut (72 kes), diikuti oleh Kuantan (40 kes), Lipis (10 kes), Bentong (9 kes), Cameron Highlands (2 kes) dan masing-masing satu kes di Maran dan Bera.

“Daripada 135 kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, 122 kes merupakan warganegara Malaysia, manakala 13 kes merupakan warganegara asing.

“Selain itu, 132 kes merupakan jangkitan tempatan, dua kes merupakan jangkitan Import B (1 kes dari Terengganu, 1 kes dari Perak) dan satu kes adalah di kalangan Orang Kena Tahan (OKT).

“73 kes diperolehi daripada saringan kluster, 47 saringan kontak rapat, 13 saringan bergejala, 1 saringan pekerjaan dan 1 saringan kendiri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut beliau, terdapat dua kes kematian baharu dilaporkan ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri ini meningkat kepada 68 kes.

“Kes kematian ke-67 bagi Negeri Pahang merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu, berumur 84 tahun dari FELDA Jengka 4, Maran.

“Kes kematian ke-68, merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu, berumur 66 tahun dari Taman Pelindung Jaya, Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, setakat 12 tengahari hari ini, 1,301 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital dan enam Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini.

“150 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC. Daripada jumlah ini, terdapat 25 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Di mana 17 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan lapan kes di ICU Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh dengan 16 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download