PKPD: 9 LALUAN TIKUS DITUTUP DI DUA MUKIM DI TEMERLOH

Oleh: Ain Nadhirah Basha

TEMERLOH, 03 JUN 2021: Polis membuat tujuh sekatan jalan raya dan menutup sembilan laluan tikus di dua mukim di daerah ini iaitu di Mukim Perak dan Mukim Bangau yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, pelaksanaan PKPD di kedua-dua mukim berkenaan berjalan lancar setakat ini dimana tujuh sekatan jalan raya (SJR) telah didirikan di pintu-pintu masuk ke mukim-mukim tersebut.

“Beberapa laluan serta lorong-lorong tikus yang menghubungkan daerah bersebelahan juga telah ditutup bagi menghalang penduduk menyeberangi atau melintasi daerah tanpa kebenaran.

“Kita juga akan membuat penambahan sebanyak tiga laluan baru lagi akan dibuat penutupan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tahap pematuhan orang ramai adalah sebanyak 97 peratus, namun masih terdapat segelintir penduduk yang masih degil terutama golongan remaja yang merayau-rayau di dalam kawasan taman-taman perumahan tanpa tujuan.

“Sebanyak 17 kompaun dengan nilai keseluruhan RM25,000 telah dikeluarkan pihak polis daerah ini setakat 28 Mei lepas sehingga semalam.

“Antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka sebanyak 11 orang dan tidak scan QR code MySejahtera sebanyak enam orang dengan nilai kompaun secara keseluruhan RM25,500,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berada di dalam rumah dan menghadkan pergerakan keluar sekiranya tiada urusan penting.

“Hanya seorang sahaja wakil daripada keluarga dibenarkan keluar untuk mendapatkan barang keperluan, atau melakukan urusan bank pada waktu yang ditetapkan dalam SOP PKPD.

“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan kompaun kepada mana-mana individu jika didapati berada di luar rumah tanpa tujuan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download