Encik Ahmad Khairi Abdul Majid, 64, dan Isterinya, Puan Normashita Othman, 64, selepas menerima vaksin di Dewan Tun Razak, Temerloh.

SUNTIKAN VAKSIN SEBAGAI IKHTIAR ELAK DIJANGKITI COVID-19 – PENERIMA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 3 JUN 2021 : “Vaksin ini kita kira sebagai ikhtiar untuk penyakit ini,” kata Encik Ahmad Khairi yang merupakan salah seorang penerima vaksin COVID-19 di Dewan Tun Razak, di sini hari ini.

Encik Ahmad Khairi Abdul Majid, 64, dari Taman Bukit Bendera, Mentakab berkata, orang ramai tidak perlu merasa risau untuk mengambil suntikan vaksinasi ini.

Puan R. Batumalai, 65.

“Cucuk ini tak ada rasa apa pun, kita kena fikir vaksin ni sebagai ikhtiar kita untuk memerangi wabak COVID-19 ini. Kalau fikir cucuk vaksin nanti mati, tak cucuk vaksin pun kita pasti akan mati, jadi kita ambillah vaksin ini,” katanya yang merupakan pesara tentera.

Isterinya, Puan Normashita Othman, 64, mengakui agak ragu-ragu untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 ini pada peringkat awal.

“Awal-awal dulu, ramai yang cakap kesan vaksin ini ramai yang matilah lepas ambil, jadi kita jadi risau dan fikir boleh ke tak kalau ambil, ada kesan ke tak kalau ambil.

“Tapi Alhamdulillah, saya sudah lengkap kedua-dua dos vaksin baru-baru ini dan tidak ada apa-apa kesan sampingan, tidak demam, tidak lenguh, semua okay sahaja.

“Saya juga ajak kawan-kawan untuk daftar dan ambil vaksin sebagai ikhtiar, yang selebihnya terpulang,” katanya yang merupakan pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, menurut Puan R. Batumalai, 65, dari Taman Rimba Permai, Mentakab, dia merasa teruja untuk mengambil vaksin pada hari ini.

Puan Phoon Mei Kiew, 65.

“Saya lagi rasa tak sabar nak ambil vaksin sebab ramai yang bagi komen vaksin ini ada kesan baik untuk lawan COVID-19,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Menurut Puan Phoon Mei Kiew, 65, yang turut mengambil suntikan pertamanya hari ini, dia mengambil suntikan vaksin COVID-19 ini kerana suaminya merupakan pesakit strok dan lebih terdedah untuk dijangkiti wabak ini jika tidak berhati-hati.

“Kalau saya tidak ambil awal dan dijangkiti wabak COVID-19 ini, suami saya yang sakit akan lebih berisiko. Jadi saya ambil suntikan ini untuk pastikan ia dapat memberi lebih perlindungan kepada kami,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download