Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

COVID-19: SEMUA DAERAH DI PAHANG CATAT PERTAMBAHAN KES POSITIF

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 02 JUN 2021 : Kesemua daerah di negeri ini mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 setakat jam 5 petang hari ini berbanding hanya sembilan sahaja daerah semalam.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata, Daerah Kuantan adalah yang tertinggi iaitu mencatatkan sebanyak 100 kes.

“Ia diikuti Bentong (43 kes); Temerloh (27 kes); Bera (26 kes); Maran (16 kes); Jerantut (8 kes); Cameron Highlands (6 kes); Rompin (5 kes); Lipis (3 kes); Pekan (2 kes); dan Raub (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, terdapat tiga kematian baharu dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negeri ini sebanyak 66 kes.

“Kes kematian ke-64 bagi negeri Pahang merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu, berumur 67 tahun dari Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut.

“Kes kematian ke-65 merupakan seorang lelaki berbangsa Cina, berumur 66 tahun dari Perkampungan Seri Setali, Kuantan. Kes mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu penyakit hipertensi dan hiperlipidemia.

“Kematian ke-66 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu, berumur 65 tahun dari Taman Tas, Kuantan. Kes mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu penyakit hipertensi dan strok,” katanya.

Beliau berkata, setakat jam 5 petang hari ini, sebanyak 237 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di negeri ini mencecah 10,004 kes.

“Daripada 237 kes baru yang didaftarkan pada hari ini, 168 kes merupakan warganegara Malaysia, manakala 69 kes merupakan warganegara asing.

“Selain itu, 216 kes merupakan jangkitan tempatan, satu kes merupakan jangkitan Import B (Terengganu) dan 20 kes adalah di kalangan Orang Kena Tahan (OKT). 107 kes diperolehi daripada saringan kluster, 106 saringan kontak rapat, 17 saringan bergejala dan tujuh saringan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini 25 lokaliti dan mukim telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh negeri ini.

“Lokaliti berkenaan adalah PKPD Daerah Kuantan; PKPD Bandar Triang, Pekan Kemayan dan Gugusan Mendi di daerah Bera; PKPD Rumah Banjir Kuala Teh, Jengka 24 dan Kampung Pagi Ulu Tembeling di daerah Jerantut.

“PKPD di Mukim Bangau, Mukim Perak dan Taman Perumahan dan Perkampungan Sekitar Gau di daerah Temerloh; PKPD Taman Dato’ Tengku Paris dan FELDA Tersang 1,2,3 di daerah Raub dan PKPD Kampung Baru Bentong,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds