COVID-19: 24 DIRAWAT DI ICU, 18 DIBANTU MESIN PERNAFASAN
Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 JUN 2021: Terdapat 24 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di dua hospital dengan 18 daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan setakat hari ini.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata, seramai 1,372 pesakit positif COVID-19 sedang dirawat di lapan buah hospital dan enam buah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di seluruh negeri Pahang setakat jam 12 tengahari.
“Terdapat 24 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 16 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan,dan 8 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dengan 18 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan.
“Sehingga pukul 12 tengahari, sejumlah 1,372 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan buah Hospital di Negeri Pahang dan enam buah Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) iaitu PKRC UMP, PKRC iKPKT, PKRC ILKKM, PKRC SUKPA, PKRC Asrama Jururawat Jengka dan PKRC KUIPSAS.
“Selain itu 125 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah
Beliau berkata, terdapat satu kluster baharu dilaporkan pada hari ini melibatkan daerah Bera iaitu Kluster DTI Kemayan hasil saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Depoh Tahanan Imigresen Kemayan.
“Nama kluster merujuk kepada lokaliti kes pertama ditemui iaitu di Depot Tahanan Imigresen Kemayan, Bera, Pahang di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak.
“Kes bermula apabila saringan OKT dilaksanakan pada 24 Mei 2021 bagi tujuan pengusiran OKT tersebut balik ke negara asal. Seramai 156 individu telah disaring dan 40 individu telah didapati positif dalam kluster ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, terdapat 11 kluster sedia ada mencatatkan kes baharu pada hari ini berbanding hanya 10 kluster sahaja semalam.
“Terdapat 11 kluster mencatatkan kes baru pada hari ini iaitu Kluster Industri Indera Mahkota 14, Kuantan (tambahan 41 kes dengan jumlah keseluruhan 75 kes); Kluster Industri Jalan Karak, Bentong (tambahan tiga kes dengan jumlah keseluruhan 41 kes); Kluster Industri Kampung Tersang, Raub (tambahan satu kes dengan jumlah keseluruhan 35 kes); Kluster Jalan Sudirman, Temerloh (tambahan lima kes dengan jumlah keseluruhan 23 kes).
“Kluster Jalan Syawal, Jerantut (tambahan satu kes dengan jumlah keseluruhan 67 kes); Kluster Kampung Baru, Bentong (tambahan 20 kes dengan jumlah keseluruhan 54 kes); Kluster Kampung Gau, Temerloh (tambahan enam kes dengan jumlah keseluruhan 169 kes); Kluster Kampung Paya Teh (tambahan satu kes dengan jumlah keseluruhan 258 kes).
“Kluster Kilometer 6 Jalan Lipis, Raub (tambahan empat kes dengan jumlah keseluruhan 62 kes); Kluster Permai Sejahtera, Lipis (tambahan dua kes dengan jumlah keseluruhan 96 kes) dan Kluster Taman Jati, Bera (tambahan dua kes dengan jumlah keseluruhan 98 kes),” katanya.
Sehingga jam 5.00 petang ini, sebanyak 237 kes baru telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 10,004 kes. -PAHANGMEDIA