Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 1 JUN 2021: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana membiayai perbelanjaan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhamad berkata, pertambahan kes jangkitan COVID-19 setiap hari memerlukan PKRC baharu dibuka dan ia menggunakan perbelanjaan yang besar.
“Namun kita bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang yang membiayai perbelanjaan di PKRC-PKRC di seluruh Negeri Pahang,” katanya pada Program Bicara Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pahang Media dan Kerajaan Negeri Pahang hari ini.
Jelas beliau lagi, penubuhan PKRC ini berikutan kapasiti wad di hospital-hospital adalah terhad dan bagi merawat pesakit COVID-19 yang berisiko rendah.
“Mereka yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik yang memerlukan rawatan rapi dan mereka yang mampu menguruskan diri sendiri akan ditempatkan di situ,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan di PKRC sentiasa diperbaharui bagi memberi keselesaan kepada pesakit, antara ialah mewujudkan ruang solat, ruang riadah, ruang makan dan meningkatkan lagi capaian internet.
“Kewujudan PKRC ini dapat menjimatkan sumber manusia kerana ia bertindak mengumpulkan pesakit COVID-19 berisiko rendah di satu tempat. Setakat hari ini sebanyak enam PKRC telah dibuka dan segala perbelanjaan adalah ditanggung oleh Kerajaan Pahang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, JKN Pahang menggunakan kesemua petugas kesihatan bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan di Pahang untuk tujuan rawatan COVID-19 dan program vaksinasi.
“Kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat setiap hari dan menambahkan lagi tugas petugas kesihatan disamping bermulanya program vaksinasi di Negeri Pahang memerlukan petugas kesihatan dimobalisasikan dengan sebaiknya.
“Terdapat juga petugas kesihatan yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana perlu bertugas di PKRC yang ditetapkan. Dengan kes jangkitan yang dilaporkan dan sumber yang disalurkan, pihak JKN yakin mampu menguruskan kes jangkitan COVID-19 di Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA