Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhamad ketika Program Bicara Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pahang Media dan Kerajaan Negeri Pahang hari ini.

COVID-19: LEBIH 1,500 PESAKIT DIRAWAT DI WAD DAN PKRC DI PAHANG

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 1 JUN 2021: Lebih 1,500 orang pesakit COVID-19 sedang menerima rawatan di wad hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di seluruh negeri ini setakat hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhamad berkata, setakat ini juga, Pahang terus mencatatkan kes jangkitan baharu harian dengan purata 200 kes jangkitan setiap hari.

“Peningkatan kes jangkitan ini dilihat menaik secara drastik selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu,” katanya ketika pada Program Bicara Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pahang Media dan Kerajaan Negeri Pahang hari ini.

Jelas beliau lagi, penubuhan PKRC sangat membantu dalam memenuhi keperluan pesakit COVID-19 yang semakin bertambah terutamanya yang berisiko rendah.

Sementara itu, beliau berkata, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 yang tidak menunjukkan perubahan ketara menyumbang kepada penggunaan katil dan keperluan alatan bantuan penafasan yang tinggi bagi pesakit warga emas yang mempunyai penyakit kronik khususnya.

“Justeru untuk mengatasi masalah ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) berkerjasama dengan Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM untuk memindahkan pesakit pesakit bukan COVID-19 ke hospital berkenaan.

“Selain itu, kita turut menghantar pesakit bukan COVID-19 ke hospital lain agar kapasiti pengggunaan katil di HTAA dapat diberikan keutamaan kepada pesakit kronik COVID-19.

“Terdapat tiga buah hospital yang tidak menempatkan pesakit COVID-19 iaitu Hospital Pekan, Hospital Rompin dan Hospital Jerantut. Ini bertujuan memudahkan pesakit yang memerlukan rawatan harian selain COVID-19 untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya lagi, dengan kerjasama daripada hospital swasta dan menetapkan beberapa hospital tertentu untuk rawatan selain pesakit COVID-19, pihak JKNP dapat memastikan rawatan yang diberikan sebaik mungkin.

“Pengasingan ini dibuat bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak berlaku di dalam kalangan pesakit bukan COVID-19 yang memerlukan rawatan di hospital disamping memastikan kemampuan anggota petugas kesihatan dapat diuruskan dengan sebaiknya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds