Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 JUN 2021: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di negeri ini termasuk di Daerah Kuantan mula membuahkan hasil apabila kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 menurun kepada 1.17 hari ini.
Malah menurut YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, kes COVID-19 di Kuantan juga semakin menurun berbanding sebelum pelaksanaan PKPD.
“Pagi tadi saya ada melihat bacaan R-naught untuk Pahang iaitu pada kadar 1.17 dan ini bukan paling tinggi di Malaysia kerana sebelum ini kita pernah mencatatkan nilai Rt 1.26 iaitu tertinggi di Malaysia.
“Ini jelas membuktikan bahawa PKPD yang kita laksanakan menunjukkan kemajuan yang banyak. Namun apa yang lebih penting adalah kerjasama semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas meninjau pemberian sarapan kepada kepada golongan rentan dan gelandangan di Jalan Wong Ah Jang di sini hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin dan Setiausaha MBK, YH. Dato’ Hajah Hamiza Hamzah.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang meminta rakyat di daerah ini terus bersabar dalam masa beberapa hari lagi dengan terus menjaga SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua rakyat di negeri ini untuk mendaftar bagi menerima vaksin COVID-19 dengan segera.
“Masyarakat gelandangan di sini pun sudah daftar hampir 90 peratus, jadi kalau mereka sanggup daftar, orang lain perlu rasa tercabar,” katanya. – PAHANGMEDIA