Kira-kira 1,000 buah rumah dan premis perniagaan di kawasan perumahan Balok Pine dan Balok Baru terlibat dengan proses sanitasi menyeluruh pada Program Hapuskan COVID-19 hari ini.

COVID-19 : 1,000 RUMAH, PREMIS DI BALOK PINE DAN BALOK BARU DISANITASI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 30 MEI 2021 : Kira-kira 1,000 buah rumah dan premis perniagaan di kawasan perumahan Balok Pine dan Balok Baru terlibat dengan proses sanitasi menyeluruh pada Program Hapuskan COVID-19 hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Tuan Ismail Abdul Ghani berkata, program ini bertujuan untuk memutuskan rantaian COVID-19 terutamanya di kawasan yang telah dikenalpasti sebagai zon merah.

“Program sanitasi ini merupakan kali ketiga diadakan di kawasan secara bersasar dan ia adalah kali kedua kerjasama dengan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan program pada hari ini melibatkan 30 anggota keseluruhan.

“Selain menjalankan proses sanitasi, kita juga turut mengedarkan risalah bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 ini.

“Program ini dianjurkan oleh Pejabat YAB Menteri Besar Pahang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP), Gerakan Belia 4B Kawasan Indera Mahkota, Persatuan Rekreasi, Sukan, dan Sosial Pahang (PERSAS) melibatkan 30 anggota dan enam buah kenderaan keseluruhannya,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Menurut beliau, program sanitasi seumpama ini akan dilakukan secara berterusan sehingga graf lekuk jangkitan wabak COVID-19 ini kembali melandai.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mengambil tindakan kendiri bagi mengelakkan dari terkena wabak ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download