COVID-19 : BERITA TULAR KEMATIAN LELAKI 20 TAHUN DI TAMAN TAS TIDAK BENAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 30 MEI 2021: Berita tular mengenai kematian seorang lelaki berusia 20 tahun akibat positif COVID-19 di Taman Tas adalah tidak benar.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) juga tidak menerima sebarang kes kematian melibatkan individu berusia 20-an.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah.

“Sehingga 30 Mei 2021, tiada kematian akibat COVID-19 di negeri Pahang melibatkan lelaki Cina berumur 20 tahun dan tinggal di Taman Tas, Kuantan.

“Terdapat keseluruhan 58 kematian dilaporkan akibat COVID-19 di negeri Pahang. Kematian termuda di negeri Pahang melibatkan lelaki India berumur 23 tahun.

“Kematian termuda melibatkan kaum Cina di Negeri Pahang adalah lelaki yang berumur 30 tahun dan tinggal di Seri Damai Perdana, Kuantan,” katanya dalam kenyataan media tersebut.

Beliau berkata, untuk minggu ini, terdapat hanya satu kes melibatkan dibawa masuk setelah meninggal (Brought In Dead/BID) yang diterima HTAA iaitu daripada Raub.

“Semakan dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang juga mendapati tiada kes BID yang dilaporkan pada hari ini melibatkan mana-mana daerah di negeri Pahang,” katanya.

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan berita yang tidak diketahui kesahihannya kerana boleh menimbulkan keadaan panik dalam kalangan masyarakat di Pahang.

“Bagaimanapun masyarakat perlu sentiasa mematuhi SOP bagi mencegah penularan COVID-19.

“Hal ini susulan dengan peningkatan kes COVID-19 di negeri Pahang, di mana purata kes harian pada minggu ini adalah 230 sehari berbanding 44 kes pada bulan lepas iaitu peningkatan sebanyak lima kali ganda.

“Sehingga hari ini, terdapat 9,119 jumlah keseluruhan kes di negeri Pahang. Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (3,094 kes), diikuti oleh Bentong (2,212 kes), Temerloh (839 kes), Jerantut (595 kes) dan Raub (531 kes),” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak merisikokan diri dan keluarga dengan jangkitan COVID-19 ini.

“Segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk ujian saringan pengesanan COVID-19 jika bergejala. Patuhi SOP yang ditetapkan dan duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan dan melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.

“Kita belum menang lagi. Tetapi saya yakin dengan usaha-usaha dan komitmen yang tinggi, kita akan menang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download