YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
YAB MENTERI BESAR PAHANG RAYU RAKYAT DAFTAR UNTUK DAPATKAN SUNTIKAN VAKSIN COVID-19
KUANTAN, 28 MEI 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail merayu kepada semua rakyat di Pahang supaya segera mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera, bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Beliau berkata, perkara itu penting untuk mewujudkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam kalangan rakyat dengan segera terutamanya dalam membantu memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini.
Menurut beliau, sehingga kini, peratusan dan jumlah rakyat kita yang telah mendaftar masih rendah iaitu hanya kira-kira 34.6 peratus atau kira-kira 415,000 orang daripada sasaran seramai 1.2 juta orang.
“Ini bukanlah pencapaian yang membanggakan. Oleh itu, Kerajaan Negeri mahu agar sasarannya benar-benar tercapai demi memelihara kesihatan dan manfaat rakyat Pahang seluruhnya,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Beliau juga mengharapkan usaha bersama dan tidak jemu-jemu rakyat Pahang untuk #KitaJagaKita bagi membendung dan seterusnya mengatasi wabak pandemik COVID-19 ini akan berjaya.-PAHANGMEDIA