Gambar hiasan

CAMERON HIGHLANDS CATAT PENURUNAN TERTINGGI PERGERAKAN KENDERAAN DAN ORANG RAMAI

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 27 MEI 2021: Daerah Cameron Highlands mencatatkan penurunan tertinggi bagi kehadiran orang ramai di tempat awam seperti pergerakan kenderaan di sekatan jalan raya (SJR), kehadiran di pasaraya dan gerai atau kedai makan dengan jumlah penurunan direkodkan sebanyak 45.8% berbanding hari sebelum.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, selain Daerah Cameron Highlands, Daerah Bera turut menunjukkan penurunan sebanyak 45.5 peratus diikuti Kuantan dengan 42.1 peratus.

Jelas beliau lagi, sebanyak empat daerah pula tidak mencatatkan sebarang penurunan terhadap jumlah kenderaan dan kehadiran di tempat-tempat awam iaitu daerah Raub, Lipis, Temerloh dan Rompin.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ seri Abd Jalil Hassan

“Secara keseluruhannya, Pahang mencatatkan penurunan sebanyak 17.7 peratus bagi pergerakan kenderaan dan kehadiran orang ramai pada PKP dan PKPD dengan perincian jumlah pergerakan kenderaan di SJR turun sebanyak 18.5 peratus, kehadiran orang ramai di ‘mall’ atau pasaraya juga turun sebanyak 0.96 peratus manakala jumlah kehadiran orang ramai di gerai atau kedai makan pula turun sebanyak 33.3 peratus.

“Kesemua jumlah penurunan ini direkodkan semalam (26 Mei) dengan perbandingan dalam tempoh 24 jam iaitu pada 25 Mei,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Beliau berkata, terdapat daerah yang mencatatkan peningkatan dari segi bilangan kenderaan atau jumlah kehadiran di tempat awam dan berharap mereka dapat patuh kepada SOP sekiranya benar-benar perlu untuk keluar dari rumah. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download