Keadaan Bandar Raya Kuantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

TAHAP PEMATUHAN SOP PKPD KUANTAN 97 PERATUS

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 25 MEI 2021: Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) penduduk daerah Kuantan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berada pada tahap 97 peratus pada hari kedua pelaksanaannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, tinjauan pihak polis mendapati tahap pematuhan dalam kalangan masyarakat menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

“Semakan pelaksanaan SOP oleh premis dan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi didapati berada pada tahap 98 peratus, di mana kebanyakan premis dan pasaraya dilihat telah mengurangkan jumlah kuanter bayaran, memperkenalkan nombor giliran kepada pelanggan dan menghadkan bilangan pelanggan di premis pada satu masa.

“Kita juga mendapati masyarakat yang keluar juga adalah untuk mendapatkan bekalan asas dan bahan makanan serta memahami pematuhan seorang sahaja di dalam kenderaan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga turut menerima maklum balas daripada orang ramai berkenaan sektor pekerjaan iaitu dari segi pematuhan syarat 10 peratus kehadiran bekerja.

“Maklum balas awam berkaitan sektor pekerjaan, pengoperasian premis dan pematuhan 10 peratus kehadiran bekerja pula mendapati, banyak aduan khususnya dari sektor perkilangan, pekhidmatan dan beberapa sektor yang tidak tersenarai dalam perkhidmatan penting atau perkhidmatan perlu terus beroperasi.

“Aduan ini perlu di ambil berat memandangkan matlamat PKPD adalah untuk mengurangkan pergerakan, menghadkan perjumpaan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau turut mencadangkan semua agensi penguatkuasa dapat digerakkan untuk melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan berkaitan SOP PKPD.

“Kerjasama dan penglibatan setiap agensi penguatkuasa peringkat daerah dan negeri perlu digembelengkan bagi memastikan matlamat ini tercapai.

“Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang sedang menguatkuasakan pematuhan SOP pada masa ini, tidak mampu untuk berada di semua tempat dengan jumlah aduan yang tinggi melibatkan pelbagai ketidakpatuhan SOP,” katanya.

Daerah Kuantan dikenakan PKPD melibatkan tujuh mukim iaitu Kuala Kuantan 1, Kuala Kuantan 2, Ulu Kuantan, Ulu Lepar, Beserah, Penor, dan Sungai Karang bermula semalam sehingga 6 Jun ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds