PKPD GAU LIBATKAN SERAMAI 2,565 PENDUDUK

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 25 MEI 2021: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Gau yang dikenakan ke atas lima buah kawasan di Temerloh melibatkan seramai 2,565 penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Temerloh yang juga Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin berkata, bagaimanapun setakat ini masih belum diketahui status kadar jangkitannya sama ada terkawal atau tidak, berikutan pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) masih dalam proses mengambil sampel daripada penduduk.

“PKPD di Gau ini baru bermula semalam dan kita sedang berusaha mengesan sama ada jangkitan ini terkawal atau tidak berdasarkan ‘mass sampling’ yang kita jalankan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata, setakat ini seramai 1,303 individu dikenakan tindakan kuarantin di rumah di kawasan berkenaan yang mana ia turut melibatkan kontak rapat tahap dua (CC2).

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah yang juga Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin

“Secara keseluruhan kita telah mengesan seramai 75 individu telah positif COVID-19 dan kesemua mereka telah di hantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Hospital Jengka dan PKRC SUKPA berdasarkan kategori kes.

“Bagi ‘mass sampling’ yang kita jalankan, hari ini sahaja kita telah dapat kira-kira 400 lebih sampel daripada lokaliti terlibat,” katanya.

Menurut beliau, pihak PKD Temerloh juga membuat pengambilan sampel berdasarkan lokaliti bagi mengelakkan kesesakan.

“Semalam, pada hari pertama, kita buat pengambilan sampel di lokaliti satu dan dua sahaja daripada lima lokaliti yang terlibat dan hari ini, kita buat pengambilan sampel di lokaliti tiga.

“Kita buat pengambilan sampel ini mengikut lokaliti sebab kita tak nak mereka ini datang ke tempat mengambil sampel ramai-ramai dan bersesak-sesak,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak PKD Temerloh juga telah mengambil sampel kedua ujian calitan daripada 190 individu hari ini.

“190 individu ini merupakan mereka yang telah diambil sampel sebelum ini. Pada peringkat pertama, seramai 216 telah hadir dan 26 daripadanya telah disahkan positif,” katanya.

Lima kawasan yang dikenakan PKPD Gau adalah melibatkan Taman Gau Indah, Taman Gau Makmur, Taman Gau Aman, Taman Gau Idaman, dan Kampung Gau Baru yang bermula semalam sehingga 6 Jun ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds