Oleh : Shazli Sufi Bin Che Unik
KUANTAN, 25 MEI 2021: Orang ramai yang ingin membuat ujian saringan COVID-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini perlu mendapatkan arahan daripada Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terlebih dahulu sebelum datang untuk menjalani saringan.
Wakil petugas kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan berkata, bagi mereka yang menjadi kontak rapat kedua dan seterusnya tidak perlu hadir untuk saringan lagi serta perlu menjalani kuarantin kendiri selama lima hari dikediaman masing masing sahaja.
“Aktiviti saringan yang dijalankan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah ini adalah percuma namun orang ramai mestilah mendapat arahan terlebih dahulu daripada pihak Kementerian Kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah untuk menjalani saringan.
“Proses saringan diuruskan oleh 100 orang petugas, bagi memastikan proses saringan berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Katanya lagi, purata 800 hingga 1,000 orang disaring setiap hari di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah kesan daripada peningkatan kes kontak rapat yang dilaporkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.
“Indeks kes yang melibatkan kontak rapat yang baru dilihat semakin meningkat ditambahkan pula dengan kes kontak rapat sedia ada yang telah dilaporkan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, bagi yang diarahkan untuk menjalani saringan, mereka perlu hadir dan mengisi borang maklumat diri dengan lengkap dan menyerahkan kepada petugas untuk dibenarkan ke tempat saringan yang ditetapkan.
“Tiada lagi sistem nombor giliran digunakan kerana hasil tinjauan sebelum ini dengan penggunaan sistem nombor giliran menyebabkan ramai yang hadir berkumpul serta tidak menjaga penjarakan fizikal.
“Mereka yang hadir akan diberi borang makluman untuk diisi di dalam kereta masing-masing dan menyerahkan borang yang lengkap diisi kepada petugas dan terus ke tempat saringan. Dianggarkan proses ini hanya mengambil masa 30 minit hingga 40 minit sahaja.
“Diharapkan mereka yang diarahkan hadir untuk saringan mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan menjaga penjarakan fizikal dengan tidak berkumpul mahupun berebut kerana sistem yang digunakan akan lebih cepat jika semua mematuhi perjalanan proses tersebut,” ujarnya. – PAHANGMEDIA