Gambar hiasan

PKRC UMP AKAN DIBUKA KHAMIS INI

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 25 MEI 2021: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang di sini akan dibuka untuk menerima pesakit yang berisiko rendah bermula Khamis ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, setakat ini, PKRC UMP masih belum beroperasi kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dipersiapkan seperti pemasangan lebih 200 katil bagi menampung bilangan pesakit yang dilihat semakin meningkat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman

“Persiapan PKRC UMP ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan NGO serta dianggarkan dapat menampung bilangan pesakit antara 600 hingga 700 orang,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini PKRC KUIPSAS masih boleh menerima 60 orang pesakit lagi dan melihat kepada keperluan dan kadar jangkitan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dilihat lebih bersiap sedia dalam memastikan segala keperluan bagi menampung pesakit COVID-19.

“Setakat ini, seramai 797 pesakit sedang ditempatkan di lima PKRC di seluruh Negeri Pahang. Kelima-lima PKRC ini dijangka dapat menampung bilangan pesakit seramai 1,015 orang .

“Diharapkan PKRC UMP Gambang yang akan dibuka ini dapat menampung jumlah pertambahan kes jangkitan yang semakin meningkat.

“Orang awam khususnya penduduk di Kuantan diminta agar terus mematuhi SOP PKPD yang telah ditetapkan dan sentiasa menjaga kesihatan diri agar rantaian jangkitan dapat diputuskan,” katanya.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 257 kes baharu telah dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang adalah sebanyak 8,029 kes.

Terdapat 155 kes sembuh harian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 6,585 kes manakala jumlah kematian adalah 50 kes. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds