Senarai jalan yang ditutup sempena PKPD.

PKPD: TIADA DEMONSTRASI ATAU MOGOK DI SEMPADAN PAHANG-TERENGGANU

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 24 MEI 2021 : Tiada demonstrasi atau mogok berlaku di sempadan Pahang-Terengganu sebagaimana yang didakwa tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dalam satu kenyataan media hari ini berkata, ianya hasil pemeriksaan dan pemantauan di lokasi oleh pihak polis.

“Berikutan beberapa video yang tular melalui media sosial menunjukkan sebilangan individu dari sempadan sebelah Terengganu berkumpul di sekatan Jalan Jabor-Jerangau pada hari ini, hasil pemeriksaan dan pemantauan di lokasi didapati tidak ada sebarang isu ketenteraman awam, demonstrasi, atau tindakan mogok sebagaimana yang ditularkan.

“Hasil semakan kebanyakan individu yang hadir adalah pekerja yang bekerja di daerah Kuantan yang ingin mengambil gambar untuk dimaklumkan kepada majikan; sebahagian pengguna jalan raya yang belum mengetahui berkaitan penutupan laluan dan pelaksanaan PKPD di daerah Kuantan dan sebilangan kecil hanya hadir untuk bertanya dan mengambil gambar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menutup sepenuhnya semua laluan alternatif untuk masuk ke daerah ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang bermula hari ini sehingga 6 Jun.

“Keseluruhan laluan masuk ke Daerah Kuantan telah didirikan sekatan jalan raya (SJR) termasuk beberapa laluan alternatif yang ditutup sepenuhnya iaitu Jalan Jabor-Jerangau; Jalan Jabor Lama-Alor Batu; Jalan Felda Neram-Bukit Kuantan; dan Jambatan Tanjung Selangor- Cherok Paloh,” katanya.

Beliau dalam kenyataan tersebut turut menasihatkan masyarakat khususnya penduduk Kuantan agar mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Hakikatnya semua orang dalam keadaan sukar. Namun kita mesti bersedia dan berusaha serta penuh sabar.

“Kita mesti bersama dalam usaha memerangi rantaian wabak COVID-19 ini. Semoga kita semua beroleh kejayaan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds