KUALA LUMPUR, 22 MEI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dilantik sebagai Ahli Kehormat FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) dalam persidangan yang diadakan secara maya #HockeyInvites, pada Jumaat.
Menurut artikel berita di laman web FIH, Al Sultan-Abdullah dipilih sebagai Ahli Kehormat badan itu atas usaha gigih Seri Paduka Baginda dalam mempromosi dan mengembangkan sukan hoki.
“Seri Paduka Baginda Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang kini merupakan Penaung Diraja Persekutuan Hoki Asia (AHF), telah memulakan usaha ke arah pembangunan semula sukan hoki di Asia dan berjanji akan meningkatkan status hoki sebagai sukan yang hebat dan simbolik di pentas Asia dan global,” menurut artikel berkenaan.
Selain Al Sultan-Abdullah, pelbagai persatuan kebangsaan hoki di seluruh dunia dan individu turut diiktiraf oleh badan hoki itu.
“Persekutuan Hoki Uzbekistan, dianugerahkan Pablo Negre Award atas usaha mereka yang luar biasa untuk memperbaiki keadaan permainan melalui infrastruktur baharu dan pelaksanaan model pembangunan belia ketika negara berkenaan berusaha muncul sebagai hab hoki utama di Asia Tengah.
Sebuah lagi persatuan kebangsaan yang diiktiraf ialah Persatuan Hoki Poland yang menerima Theo Ikema Award, hasil pelbagai projek pembangunan hoki yang berjaya melahirkan seramai 30 jurulatih baharu dan lebih 3,000 pelajar sekolah yang didedahkan dengan sukan hoki di negara berkenaan.
Penganugerahan terhadap individu pula, membabitkan penyerang yang memberi inspirasi dari England dan Britain, Sam Ward yang kariernya terjejas pada 2019 akibat kecederaan mata.
Beliau dianugerahkan sebagai penerima Super Fair Play Trophy René G Frank.
“Pengiktirafan terhadap beliau itu sebagai mengiktiraf ketekunan, dedikasi dan sumbangan tenaga yang bukan hanya bagi pemulihan dirinya tetapi juga dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan mental.
Malah, beliau juga secara sukarela menyumbang masa dengan menghantar makanan dan ubat-ubatan kepada komuniti setempat serta memberi sokongan kepada seorang kanak-kanak pesakit leukemia, Alfie,” menurutnya.
Sharon Williamson dari New Zealand pula diberi penghormatan dan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Seri Paduka Sultan Azlan Shah atas dedikasi dan kerja sukarela selama ribuan jam untuk merealisasikan penubuhan Pusat Hoki Kebangsaan New Zealand yang baharu, di Auckland.
Acara ini berlangsung sempena perasmian kongres FIH ke-47 pada Jumaat dengan sesi persidangan berlangsung hari ini.
Ratusan perwakilan dari seluruh dunia akan berhubung dalam persidangan maya yang julung kali diadakan itu dengan keputusan strategik utama akan dicapai demi pembangunan dan tadbir urus sukan hoki di peringkat global.
Sumber: Bernama