Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 MEI 2021 : Kerajaan Pahang akan membuka dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di daerah ini sebagai persiapan awal sekiranya jumlah kes positif wabak ini terus meningkat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata dua pusat PKRC terlibat adalah di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang.
“Dua pusat kuarantin bagi pesakit berisiko rendah ini akan dibuka bagi memastikan sistem kesihatan di negeri ini tidak lumpuh sekiranya terus berlaku pertambahan kes positif COVID-19 di negeri ini.
“PKRC KUIPSAS dijangka boleh beroperasi sepenuhnya esok dan satu lagi PKRC di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang sedang dalam proses disiapkan, dan dijangka boleh mula digunakan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata pertambahan PKRC yang dibuka di negeri ini bukan bermakna penularan wabak COVID-19 di negeri ini berada di tahap yang membimbangkan.
“Pertambahan PKRC yang dibuka ini bukan bermakna situasi penularan wabak ini (COVID-19) di negeri ini berada di tahap membimbangkan tetapi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hanya mengambil langkah awal untuk memastikan tidak berlaku situasi kelam-kabut jika saat akhir baru kita nak buat (persiapan).
“Ingin saya maklumkan kepada semua rakyat Pahang bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sedang melakukan usaha terbaik bagi membendung (penularan) wabak ini dan kita sangat berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama, terutamanya dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Srandard (SOP) yang sudah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata dengan pembukaan PKRC di KUIPSAS, ia menjadikan sebanyak empat buah pusat kuarantin kini beroperasi di negeri ini.
“PKRC di KUIPSAS ini merupakan PKRC keempat selepas kita menggunakan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Kuantan; Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong dan Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, PKRC di KUIPSAS mampu memuatkan seramai 200 pesakit berisiko rendah manakala jumlah pesakit yang boleh ditempatkan di PKRC Kompleks Sukan UMP pula akan dimaklumkan selepas semua persiapan teknikal membabitkan susun atur katil selesai dilakukan.
Sebanyak 157 kes direkodkan setakat semalam di negeri ini melibatkan tujuh kluster iaitu Kluster Kemunting, Kluster Kg. Paya Teh, Kluster Tanah Putih, Kluster Menara Jalan Putra, Kluster Taman Jati, Kluster Sri Tanjung, dan Kluster Jalan Dara. -PAHANGMEDIA