KUANTAN, 22 MEI 2021 : Kadar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kedua-dua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKP) di daerah ini adalah sangat tinggi tetapi sebaliknya pula berlaku di kawasan sekitar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ini berdasarkan banyak kawasan di daerah ini yang merekodkan peningkatan kes positif.
“Kadar pematuhan dua-dua kawasan PKPD ini iaitu di Tanah Putih Baru dan Seri Kemunting sangat tinggi. Jadi kawasan PKPD ini terkawal, kita melihat kawasan luar pula. Boleh kata daerah Kuantan ini banyak tempat yang telah menunjukkan peningkatan positif.
“Jadi kita (pihak polis) kini sedang membuat perancangan, kita telah memberi taklimat kepada pihak atasan dan kita akan menunggu keputusan yang terbaik yang akan dilakukan oleh pihak kepimpinan.
“Kita akan bersedia dalam keadaan dari segi keanggotaan, peralatan, sekiranya ada arahan terkini, kita bersedia melakukan tugasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Sanitasi seluruh kawasan PKPD di Tanah Putih dan PKPD Seri Kemunting, di Seri Kemunting, sini hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang berada di kawasan PKPD supaya menjalankan tindakan kendiri bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 daripada tersebar.
“Jangan kita berharap sahaja kepada pihak berwajib. Bila nampak pihak berkuasa, baru kita nak masuk dalam rumah atau nak berada dalam pagar rumah. Kalau tidak, kita berada di luar pagar rumah.
“Ini merupakan satu perkara yang tidak boleh dilakukan sebenarnya. Apabila dikenakan kuarantin mereka kena berada di kediaman masing-masing dan tidak boleh berada di luar. Dan ia boleh menjadi satu kesalahan, namun begitu tindakan kita setiap hari MPV iaitu kereta peronda kita akan masuk ke kawasan ini dan membuat pengumuman, peringatan supaya semuanya berada di kediaman masing-masing. Alhamdulillah perkara ini dipatuhi,” katanya.
Beliau turut meminta penduduk di kawasan PKPD supaya tidak berputus asa tetapi dalam masa yang sama jangan leka dengan situasi terkini.
“Pada saya situasi semasa menujukkan ke arah makin lama makin baik. Jadi janganlah putus asa tetapi jangan leka. Keadaan kata mungkin baik, lepas tu kita longgar, tak boleh.
“Semua pihak yang melanggar SOP, langgar peraturan, akan dikenakan kompaun. Pihak penguatkuasa tak akan mengambil tindakan kepada pihak tertentu sekiranya tidak ada pelanggaran. Jadi kita kena tegas dalam perkara ini bagi memastikan kawalan kita, usaha bersama kita ini memberi hasil yang baik,” katanya. -PAHANGMEDIA