Sebanyak 1,037 rumah dan premis yang berada di dua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di daerah ini disanitasi secara menyeluruh hari ini.
1,037 RUMAH DAN PREMIS DI DUA KAWASAN PKPD DISANITASI MENYELURUH
Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 MEI 2021 : Sebanyak 1,037 rumah dan premis yang berada di dua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di daerah ini disanitasi secara menyeluruh hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ia bertujuan membersihkan kawasan dan mengelakkan wabak COVID-19 daripada terus tersebar.
“Bermula 8.30 pagi, kita baru sahaja selesai untuk peringkat pertama sanitasi di Tanah Putih Baru dan sekarang ini kita akan melakukan peringkat kedua di lokasi kedua iaitu di Seri Kemunting untuk membuat semburan sanitasi sebagai salah satu langkah yang difikirkan wajar untuk memastikan kebersihan, nyahkuman dan yang berkaitan kepada kawasan yang terbabit.
“Untuk di Tanah Putih keseluruhannya hampir 787 buah rumah dan premis yang berada di kawasan tersebut telah disanitasi dan bagi kawasan Seri Kemunting ini jumlahnya 250 buah kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Sanitasi seluruh kawasan PKPD di Tanah Putih dan PKPD Seri Kemunting, di Seri Kemunting, di sini hari ini.
Beliau berkata, proses santiasi ini mendapat kerjasama daripada beberapa agensi iaitu pihak bomba, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Alam Flora dan Jabatan Penerangan.
Beliau mengingatkan penduduk khususnya di kawasan terlibat dengan PKPD supaya menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing dengan melaksanakan tindakan kendiri.
Tinjauan Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) mendapati proses sanitasi ini dijalankan menggunakan 12 jentera daripada kesemua agensi terlibat bersama 71 anggota.
Taman Tanah Putih Baru telah dikenakan PKPD bermula 5 Mei sehingga 18 Mei lepas namun dilanjutkan lagi sehingga 25 Mei ini dan seramai 393 individu telah disahkan positif daripada Kluster Tanah Putih Baru setakat semalam.
PKPD bagi Seri Kemunting pula bermula pada 17 Mei lepas sehingga 30 Mei ini dengan seramai 36 individu telah disahkan positif daripada Kluster Kemunting ini. -PAHANGMEDIA