Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga yang dikuarantin akibat wabak COVID-19 di dalam kawasan Bebar.
COVID-19: 148 KELUARGA DI BEBAR YANG DIKUARANTIN TERIMA SUMBANGAN KERAJAAN PAHANG
OLEH: MAHATHIR ALI
KUANTAN, 21 MEI 2021: Seramai 148 keluarga di Dewan Negeri Bebar yang diarahkan dikuarantin akibat wabak COVID-19 menerima sumbangan barangan makanan sumbangan Kerajaan Pahang dan Ahli Parlimen Pekan, semalam.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar.
YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Pahang amat memahami keadaan kesusahan mereka bersama keluarga yang diarahkan kuarantin akibat wabak COVID-19 ketika ini.
Seramai 148 keluarga di Dewan Negeri Bebar yang diarahkan dikuarantin akibat wabak COVID-19 menerima sumbangan barangan makanan sumbangan Kerajaan Pahang dan Ahli Parlimen Pekan, semalam.
“Kebanyakkan mereka dikuarantin selama 14 hari kerana pernah bertemu pesakit COVID-19 yang mereka sendiri tidak tahu awalnya. Sudah tentu mereka mengalami kesukaran ketika ini untuk mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya.
“Sumbangan ini telah saya disampaikan kepada 14 Pengerusi JKKK di Bebar untuk diagihkan kepada keluarga yang terlibat di kawasan masing-masing,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) semalam.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail memahami dan mengambil berat bagi meringankan beban rakyat yang dikuarantin di seluruh negeri ini.
“Begitu juga YB Ahli Parlimen Pekan kita, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang sentiasa menghulurkan bantuan. Saya juga sempat turun padang menyampaikan sendiri sumbangan kepada tiga keluarga yang dikuarantin di Kampung Padang Buluh di sini.
“Saya berharap kesemua mereka yang terlibat dikuarantin ini sentiasa menjaga kesihatan sebaik mungkin dan terus mematuhi segala SOP. Sekiranya mula mengalami gejala wabak COVID-19, hubungilah segera Jabatan Kesihatan agar rawatan awal dapat diberikan.
“Penularan wabak COVID-19 di seluruh negara termasuk di negeri Pahang kini semakin meningkat dan amat membimbangkan. Dengan bertambahnya mutasi varian-varian baru dan kluster baru maka semua rakyat harus mengambil serius keadaan ini dan berganding bahu menangani wabak yang merbahaya ini,” katanya. – PAHANGMEDIA