LANJUT TEMPOH BAYAR CUKAI: RAKYAT SIFATKAN KERAJAAN PAHANG SANGAT PRIHATIN

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 21 MEI 2021: Langkah Kerajaan Pahang melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah tahun 2021 ke atas semua pemilik tanah berdaftar di negeri ini disifatkan sebagai suatu tindakan yang cakna dan prihatin terhadap kesusahan yang ditanggung rakyat ketika ini.

Mantan Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Abdul Basits Haji Mohamed Mokhtar berkata, pihaknya menyambut baik langkah yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini dan menyifatkan ianya sebagai peluang terbaik kepada pembayar cukai dalam situasi pandemik ketika ini.

Katanya, tindakan tersebut sangat bertepatan pada waktu ini dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Mantan Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Abdul Basits Haji Mohamed Mokhtar

“Malah, kaedah pembayaran cukai secara atas talian yang diwujudkan juga bukan sekadar memudahkan proses tersebut tetapi turut mengurangkan risiko pendedahan pembayar cukai terhadap suasana yang sesak dan ramai orang.

“Meskipun kaedah bayaran secara atas talian ini bukanlah amalan biasa kebanyakan daripada kita yang mungkin lebih selesa berurusan di kaunter Pejabat Daerah dan Tanah secara manual, namun norma baharu ini perlulah diamalkan dan diterima oleh semua pihak demi kesejahteraan bersama,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Tambahnya, pengumuman yang telah dibuat oleh Dato’ Sri Haji wan Rosdy ini juga dapat memberi peluang kepada pembayar cukai mengurus kewangan sebelum tarikh 31 Ogos depan iaitu lanjutan selama tiga bulan daripada tarikh asal pada 31 Mei ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Sungai Koyan 2, Encik Yahya Ali pula berpendapat tindakan Kerajaan Pahang yang diterajui Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menggambarkan keprihatinan beliau bersama kepimpinan kerajaan.

“Pada pandemik COVID-19 seperti yang dihadapi sekarang memberikan kesan yang sangat besar kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan dan lanjutan tempoh bayaran cukai ini merupakan langkah yang sangat prihatin dan membuktikan bahawa YAB Menteri Besar sangat memahami keadaan kami terutama penduduk kampung yang menghadapi berbagai kesukaran akibat pandemik ini.

“Kebanyakan rakyat khususnya luar bandar tidak dapat keluar bekerja seperti biasa dan ini menyebabkan terputus pendapatan terutama golongan yang bekerja sendiri atau berniaga,” katanya.

Beliau berharap, tindakan kerajaan negeri ini akan dapat membantu mengurangkan ketegangan kewangan yang dihadapi pembayar cukai pada ketika ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds