Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

COVID-19: KADAR KEBOLEHJANGKITAN PAHANG KEKAL PADA TAHAP 1.26 DAN 1.27

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 MEI 2021 : Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di negeri ini masih tidak berubah iaitu berada di tahap 1.26 dan 1.27 buat masa ini.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata Rt terbaharu bagi negeri ini setakat semalam berada pada tahap 1.26.

“Kita lihat kadar Rt di negeri ini tidak berubah di mana ia berada pada kadar antara 1.26 dan 1.27. Kadar Rt semalam, kita berada pada tahap 1.26 iaitu dibelakang Terengganu dan Kedah pada Rt 1.27.

“Namun demikian, kita merekodkan tahap Rt 1.27 iaitu tertinggi di Malaysia pada 18 Mei. Sebelum itu Rt kita adalah pada 1.26 pada 17 Mei, dan 1.27 pada 16 Mei,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Menurut beliau lagi, kadar kebolehjangkitan ini dapat dikurangkan dengan semua pihak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikeluarkan.

“Satu-satunya cara kita dapat mengurangkan kadar Rt ini adalah dengan mengikut arahan PKP, dan jaga 3C, selain melakukan PKP kendiri.

“Kita kurangkan perkara yang tidak perlu, macam pergi membeli-belah di pasaraya, berkumpul ramai, pergerakan yang tidak perlu, jika ini dipatuhi, kita dapat menurunkan kadar Rt di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini tiada kemunculan varian baharu yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Afrika Selatan, varian United Kingdom dan varian India dikesan di negeri ini setakat ini.

“Setakat ini kita tidak mengesan jangkitan dari mana-mana tiga VOC ini di negeri ini setakat ini walaupun ianya telah memasuki negeri lain,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds